
Endorsement daripada DAP bahawa Baru Bian akan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru menggantikan Taib Mahmud sekiranya Pakatan Rakyat berjaya merampas Sarawak daripada BN, sememangnya sesuatu yang sangat menarik untuk dinilai.
Seperti yang diketahui, majoriti penduduk Sarawak adalah beragama Kristian, sama ada mereka Katholik, Protestan, Methodist mahupun mazhab-mazhab yang bercampur dengan adat istiadat agama nenek moyang.
DAP merupakan sebuah parti missionary yang berasal dari Semenanjung. Kalau diperhatikan dan diperhalusi, DAP menjuarai apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Kristianisasi sama ada secara langsung seperti sokongan terhadap forum memeluk Islam, mahupun Bible berbahasa Melayu sungguhpun lebih 90% daripada pemimpinnya gagal berbahasa Melayu dengan baik, mahupun lambang salib yang diselindungkan dalam lawatan Perdana Menteri dalam satu majlis Krismas tahun lepas.
Pemimpin-pemimpin utama DAP mestilah berbangsa Cina dan beragama Kristian. Seperti missionaries yang lain, tujuan utama penubuhan dan perjuangan mereka adalah untuk menjadikan sesebuah negara itu seperti Baitul Maqdis sebelum dirampas oleh tentera-tentera Islam pada awal Zaman Pertengahan dahulu.
Mungkin ramai yang kurang tahu bahawa Undang-Undang Tubuh Negeri Sarawak tidak mengehadkan agama seseorang pemimpin tertinggi atau dengan kata lain, sesiapa sahaja yang merupakan anak negeri, tanpa mengira latar belakang agama mahupun etnik, dibenarkan menjadi Ketua Menteri.
Dan untuk memastikan perjuangan DAP berjaya, DAP perlu mengucar-ngacirkan perpaduan umat Islam. Sebab itulah, di Semenanjung, DAP akan berada di belakang PAS dan akan menjadi syaitan bertanduk lapan sekiranya ada ura-ura dari kalangan pemimpin PAS yang cuba 'berbaik-baik' dengan UMNO. Selagi umat Islam tidak bergabung dan berpecah-belah, seronoklah Kit Siang dan DAP secara keseluruhannya.
Taktik itu jugalah yang digunakan oleh DAP di Sarawak. Bezanya, di Sarawak, DAP tidak begitu menggunakan isu keagamaan memandangkan rakyat Sarawak sebenarnya tidak terpengaruh pun tentang faktor agama kerana komposisi kaum dan etnik di Sarawak sendiri, ia boleh dikira sebagai ROJAK CAMPUR. Sudut yang paling sesuai untuk DAP memasukkan jarum mereka adalah menerusi kaum.
Menyedari kekuatan kaum Dayak, apatah lagi masyarakat Dayak merupakan majoriti penganut Kristian di Bumi Kenyalang ini, DAP menusukkan jarumnya dengan cara yang sangat halus.
DAP melihat Baru Bian sebagai tokoh terbaik untuk dijadikan boneka. Baru Bian yang merupakan antara pemimpin gereja yang sangat dihormati di Sarawak, merupakan calon paling sesuai untuk meneruskan impian serta perjuangan DAP sungguhpun Baru Bian bernaung di bawah PKR.
Kalau di Semenanjung, DAP menjadi pelaga UMNO dan PAS, di Sarawak pula, DAP menjadi penghasut pelbagai etnik dan kaum agar mereka tidak boleh bersatu dan dipecah-belahkan. Dengan menggunakan sedikit isu keagamaan dan lebih banyak tertumpu kepada perkauman, DAP mengharapkan daripada 15 kerusi yang mereka tandingi, kalau tidak pun mereka sapu semua kerusi tersebut dalam PRN kali ini, setidak-tidaknya mereka mampu mengaut 11 kerusi.
45 kerusi yang ditandingi oleh PKR (tolak satu di Balingian di mana calon PKR menarik diri), tidak ramai yang menaruh harapan untuk kemenangan besar PKR. Namun di situlah keuntungan yang bakal diperolehi oleh DAP kerana bantuan daripada DAP untuk memecah belahkan masyarakat menerusi undi kepada PKR dan calon-calon Bebas, akan memudahkan untuk DAP menguasai Petrajaya kalau benar Pakatan Rakyat akan menang di Sarawak.
Keuntungan DAP adalah dalam bentuk jangka panjang. DAP tidak boleh terus meletakkan calon dalam tempoh terdekat ini. Apa yang dilakukan oleh DAP ialah memperkenalkan pemimpin-pemimpin mereka dengan berselindung di sebalik kempen membantu calon-calon PKR di kerusi-kerusi yang ditandingi. Dalam dua atau tiga Pilihanraya Negeri nanti, DAP sudah mampu mengenepikan calon-calon daripada parti sekutunya dengan meletakkan calon-calonnya sendiri.
Justeru apabila DAP menyatakan secara terbuka sokongan mereka kepada Baru Bian sebagai Ketua Menteri baru Sarawak, jangan dipandang kepada keputusan 17 April nanti. Sebaliknya perhatikan kepada dua atau tiga lagi Pilihanraya Negeri apabila DAP berjaya memperolehi sokongan dan perhatian daripada kaum Bumiputera yang selama ini menolak kehadiran DAP di kawasan-kawasan bukan majoriti pengundi berbangsa Cina.