ANGKATAN OREN atau Rombongan ANAK yang diketuai oleh Mazlan Aliman gagal memasuki banyak FELDA untuk membuat tohmahan dan fitnah terhadap FELDA dan Kerajaan UMNO-BN. Itu yang membuatkan PAS dan Pakatan Rakyat meroyan sakan selain menggembar-gemburkan kononnya, peneroka-peneroka FELDA tidak berpuas hati kerana mereka tidak dapat mendengar ceramah Mazlan Aliman dan ANAK.
Terbaru, cubaan Mazlan Aliman membawa orang luar memasuki beberapa buah FELDA di Negeri Sembilan berakhir dengan kekecewaan. Mazlan Aliman cuba berkokok kononnya, angkatannya telah diserang dan dikasari selain diikat dan dicabul kehormatan oleh penduduk setempat.
Malah, yang paling menarik ialah apabila gambar Ketua Penerangan ANAK, Noraza Mudadasar diikat menjadi ikon baru untuk meraih simpati dan perhatian daripada orang ramai, khususnya peneroka-peneroka FELDA.
Apa yang berlaku sebenarnya dan mengapa ANGKATAN OREN mendapat halangan daripada penduduk dan para peserta FELDA sendiri, meskipun Mazlan Aliman dan ANAK cuba menuding jari, kononnya UMNO yang menghasut para peneroka FELDA agar tidak membenarkan mereka masuk?
Benarkah UMNO yang menjadi dalangnya atau sebenarnya para peneroka FELDA sendiri yang sudah muak dengan perangai Mazlan Aliman dan ANAK yang tidak sudah-sudah menagih darah daripada peneroka FELDA dengan menimbulkan pelbagai isu, tetapi akhirnya yang mendapat keuntungan besar adalah Mazlan Aliman dan barisan peguam yang dilantik oleh ANAK, sedangkan para peneroka FELDA yang kononnya dibantu pula, sekadar menggigit jari dan melihat sahaja usaha mereka beralih tangan kepada Mazlan Aliman dan konco-konconya?
Terbaru, ANAK memekak lagi dan cuba membuat fitnah kononnya, UMNO dan Barisan Nasional telah menghantar samseng-samseng untuk menghalang rombongan mereka di Jalan Dangi-Jelai yang menghubungkan beberapa buah FELDA seperti FELDA Jelai, FELDA Jelai, FELDA Bukit Rokan, FELDA Rokan Utara, FELDA Rokan Barat dan FELDA Kepis.
Kononnya, 'serangan' tersebut telah mengakibatkan seorang ahli rombongan ANGKATAN OREN mengalami luka di kepala dan cermin kereta telah dipecahkan sedangkan tujuan mereka hanyalah untuk berceramah tentang KOPERASI FELDA.
Namun daripada keterangan saksi serta bukti-bukti yang ada di tempat kejadian, para peneroka yang mengetahui tujuan sebenar kedatangan ANAK ke kawasan mereka, telah melakukan sekatan jalan dan tidak membenarkan rombongan Mazlan Aliman daripada memasuki kawasan mereka. Bagaimanapun, ANAK dan Mazlan Aliman yang perasan kononnya mereka boleh masuk ke mana-mana sahaja hatta ke dalam kelambu dan di atas katil para peneroka FELDA, berdegil dan cuba melakukan kekerasan terlebih dahulu.
Salah sebuah kenderaan dalam rombongan ANAK yang mengimport dan menggunakan tenaga luar, telah cuba melanggar dan membunuh para peneroka serta mereka yang menghalang rombongan ANAK. Tindakan kurang ajar dan biadap serta tidak bertamadun itulah yang menambahkan lagi kemarahan penduduk setempat.
http://www.facebook.com/photo.php?v=4960220723908&set=vb.1250733735&type=2&theater
Mengapa agaknya, para pecacai PAS dan Pakatan Rakyat, langsung tidak berani menyebut atau mendedahkan perilaku serta gelagat kurang ajar, biadap serta tidak bertamadun daripada ANGKATAN OREN yang cuba membunuh penduduk tempatan yang menghalang mereka?
Hanya semata-mata untuk berceramah dan mencari pengaruh, ANAK dan MAZLAN ALIMAN memutuskan untuk membunuh dengan cara melanggar sesiapa sahaja yang menghalang mereka di jalan raya dengan menggunakan kenderaan yang mereka pandu?
Itu yang dikatakan membela? Apatah lagi, tempat dan masyarakat yang ingin dibela oleh ANAK sebenarnya sudah lama terbela dan terjaga, sedangkan sewaktu zaman susah dahulu, PAS tidak nampak muka dan batang hidung pun.
Ada penduduk tempatan yang bertanya, mengapa hanya setelah para peneroka FELDA berjaya, barulah ANAK dan PAS sibuk nak berjuang membela mereka, sedangkan dalam program LADANG RAKYAT yang diusahakan oleh PAS, para pesertanya langsung tidak dapat pembelaan....